Piala AFC: KL City FC muncul juara Zon ASEAN, tundukkan PSM Makassar

Kredit foto: KL City
25/08/2022 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur (KL) City FC melakar sejarah apabila berjaya menundukkan wakil Indonesia, PSM Makassar 5-2 pada aksi final Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), malam ini.

Lebih manis, kejayaan tercipta di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di hadapan 2,905 penonton itu dalam masa sama melayakkan KL selaku Juara Zon ASEAN terus mara ke perlawanan play off separuh akhir antara zon Piala AFC. 

Pada babak pertama perlawanan berlangsung, kedua-dua pasukan mempamerkan perlawanan seimbang dengan masing-masing cuba memecah kebuntuan gol.

KL berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-20 menerusi hantaran leret Zhafri Yahya ke dalam kawasan kotak penalti yang disusuli rembatan Romel Morales, namun ianya dihalang pemain pertahanan lawan sehingga menyaksikan bola hanya melintasi bahagian kanan tiang gol.

Peluang yang tidak berjaya disudahkan itu bagaimanapun kian membangkitkan semangat anak buah Bojan Hodak untuk sekali lagi mengasak kubu lawan PSM Makassar dan ia ternyata berbaloi selepas Romel menjaringkan gol pendahuluan KL pada minit ke-32.

KL yang menggandakan asakan meraih satu lagi gol menerusi hantaran leret Romel ke dalam kotak penalti yang disambut baik dengan rembatan padu pemain import dari Ghana, Jordan Mintah pada masa tambahan separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan PSM Makassar dibimbing Bernardo Tavares ternyata masih terpaku dengan dua gol skuad KL sekali dihukum apabila pemain pertahanannya menjatuhkan pemain tengah KL, Zhafri dalam kawasan kotak penalti.

Peluang terhidang menerusi sepakan penalti yang diberikan pengadil  itu kemudian disempurnakan Paulo Josue bagi gol ketiga untuk KL terus selesa mendahului.

 Tersentak dengan gol itu, PSM Makassar cuba mengubah rentak lebih agresif dan usaha mencari gol akhirnya menemui kejayaan selepas Yakob Sayuri menjaringkan gol pada minit ke-57.

PSM Makassar kembali lebih garang apabila merapatkan kedudukan menerusi jaringan Akbar Tanjung pada minit ke-62.

KL tidak mahu mensia-siakan peluang untuk terus mendahului kemudian menjarakkan kedudukan menerusi gol keempat hasil jaringan Paulo pada minit ke-85.

Pemain KL, Hadin Azman kemudian menambah keceriaan pasukan apabila menyempurnakan sepakan  penalti pada minit akhir kecederaan untuk memutlakkan kemenangan pasukan.

-- BERNAMA