Pecutan bertenaga Nur Aiman Zariff sumbang emas ke-37 Malaysia

Pelumba basikal lelaki negara Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berjaya memenangi emas dalam acara lebuhraya lelaki pada Sukan SEA ke-31, Hanoi hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
21/05/2022 04:37 PM

Daripada Elmi Rizal Elias

HANOI, 21 Mei (Bernama) -- Pelumba basikal negara Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff menampilkan pecutan bertenaga di penghujung saingan untuk merangkul pingat emas acara lebuh raya lelaki Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Wilayah Hoa Binh, kira-kira 75 kilometer (km) dari sini, hari ini.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu menampilkan kayuhan cemerlang ketika perlumbaan berbaki 1 km untuk sampai ke garisan penamat, meninggalkan tiga pelumba lain dalam kelompok hadapan, sekali gus menyumbangkan pingat emas ke-37 negara pada temasya itu kali ini.

Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berusia 25 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 48 minit 22 saat, mengatasi pencabarnya dari Indonesia Aiman Cahya di tempat kedua dan pelumba Thailand Navuti Liphongyu di tempat ketiga.

Kedua-dua pelumba Indonesia dan Thailand itu mencatat masa yang sama dengan Muhammad Nur Aiman.

“Syukur Alhamudillah hari ini Aiman dapat membuktikan dapat pingat (emas) untuk Malaysia...syukur sangat-sangat kepada Allah SWT,” katanya dalam Facebook Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Perlumbaan sejauh 162.25 km itu juga menyaksikan Akmal Hakim Zakaria mencatat masa 3:51:17 saat untuk berada pada kedudukan keenam.

Tiga lagi pelumba kebangsaan iaitu Nur Amirull Fakhruddin Marzuki berada di tempat ke-31, Muhammad Zawawi Azman (ke-32) dan Muhammad Nur Aiman Rosli di kedudukan ke-33. Ketiga-tiga pelumba berkenaan mencatat masa 4:04:48s.

Ketua jurulatih berbasikal lebuh raya negara Datuk Ng Joo Ngan ternyata sangat gembira dengan percaturan skuad negara, yang terdiri daripada kombinasi dua pasukan profesional terkemuka Malaysia - TSG dan Sapura Cycling Team (TSC), sehingga berjaya mengungguli perlumbaan tersebut.

“Pelumba kami beraksi cemerlang. Terima kasih Mr President (Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abdul Wahab). Anda membawa saya kembali sebagai jurulatih di sini dan saya memberi mereka nasihat yang baik dan saya harap mereka akan terus mempamerkan prestasi yang baik,” katanya dalam laman sosial PKBM itu.

Selepas meraih 13 emas, 10 perak dan tiga gangsa dalam acara berbasikal pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad negara hanya membawa pulang satu gangsa menerusi Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff dalam BMX (freestyle flat land lelaki) daripada 13 emas ditawarkan dalam sukan itu di Filipina.

Susulan itu, PKBM memutuskan untuk mendapatkan semula khidmat bekas jurulatih dan atlet kebangsaan Joo Ngan, yang pernah membimbing bekas atlet Olimpik M.Kumaresan bagi mengatur strategi kemenangan di Hanoi.

-- BERNAMA