Kami tetap mampu bersaing tanpa senior - Muhammad Ubaidullah

20/05/2022 06:28 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

PHU THO (Vietnam), 20 Mei (Bernama) -- Pencapaian skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan mara sehingga ke peringkat separuh akhir Sukan SEA Ke-31, tanpa diperkuat pemain lebih umur sesuatu yang boleh dibanggakan, kata pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.

Malaysia tewas 0-1 kepada juara bertahan Vietnam, pada pertembungan separuh akhir di Stadium Viet Tri di Wilayah Phu Tho semalam, sekali gus meranapkan impian menamatkan kemarau 11 tahun merangkul pingat emas temasya sukan dwitahunan itu.

Biarpun tanpa pemain senior yang menyaksikan Malaysia adalah pasukan dengan purata umur termuda di pentas separuh akhir, Muhammad Ubaidullah berkata rakan sepasukannya telah memberikan yang terbaik sepanjang 120 minit permainan, apabila perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

“Walaupun kita tidak ada pemain senior dan sebagainya, tapi kita bangga dengan prestasi ini. Kita sebaik mungkin cuba untuk memenangi perlawanan untuk ke final, tetapi kekurangan fokus menyebabkan kesilapan berlaku dan dihukum satu gol,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata dalam perlawanan berintensiti tinggi, walaupun pasukan bermain dengan baik tetapi dengan hanya satu kesilapan mampu membawa padah, sekali gus menganggap kekalahan itu satu pengajaran berharga.

Pemain skuad Projek FAM-MSN berusia 19 tahun itu turut yakin, pasukan muda negara mampu beraksi lebih baik dari semasa ke semasa dengan mereka selepas ini akan mengharungi kempen kejohanan Piala Asia B-23 2022, bulan hadapan.

Malah, beliau yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada aksi berdepan Vietnam, optimis pasukan negara berupaya mencabar pingat emas Sukan SEA berikutnya di Kemboja tahun depan.

“Kita telah cuba sebaik mungkin untuk bertahan dan ia amat perit untuk dibolosi pada saat akhir,” katanya.

Pada aksi separuh akhir semalam, penyerang Nguyen Tien Linh menjadi wira Vietnam selepas menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pada minit ke-111, sekali gus membawa pasukannya ke final.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

Skuad B-23 kebangsaan bimbingan Brad Maloney, akan bertemu Indonesia dalam aksi penentuan pingat gangsa di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi Ahad ini.

-- BERNAMA